
KLANG - Ramai di antara rakyat di negara ini, mati lebih awal akibat penyakit tidak berjangkit (NCD), berpunca daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat, yang menjadikan Malaysia berada di tangga keenam dunia dalam kadar obesiti tertinggi dalam kalangan rakyat dewasa.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, hampir satu daripada setiap lapan orang di negara ini menghidap diabetes.
Menurutnya, bagi tahun 2010, jumlah kematian di hospital kerajaan akibat penyakit NCD adalah 11,800 orang dan kebanyakannya mengidap penyakit kardiovaskular.
“Oleh itu orang ramai perlu segera membuat pemeriksaan saringan awal, untuk mengetahui status kesihatan dan mendapatkan nasihat.
“Ini penting kerana sekarang telah menjadi trend, rakyat :Malaysia meninggal dunia sebelum umur 60 tahun disebabkan penyakit NCD,” katanya selepas menghadiri Persidangan Kesihatan Awam Selangor 2011, di sini, semalam.
Menurutnya, pemeriksaan saringan hanya boleh membantu pesakit mengetahui status penyakit sahaja dan tidak boleh membantu menyembuhkan penyakit berkenaan.
“Perubahan sikap penting, bukan sahaja kepada pemakanan tetapi merangkumi cara bersenam yang betul.
“Mengikut laporan hanya 15 peratus sahaja rakyat Malaysia ini, bersenam dengan cara yang betul, selebihnya lagi tidak bersenam atau bersenam dengan cara tidak betul,” katanya.
Petikan:
http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story9627540.asp



No comments:
Post a Comment